Sayid Qutub berkata: “Adapun orang-orang yang terus
berdegil (di atas kesalahan mereka) dan tidak bertaubat sehingga peluang itu
terlepas dari tangannya dan tempoh (yang diberikan Allah) telah berakhir, maka
mereka akan menghadapi laknat yang diancamkan kepada mereka sebelum ini dengan
huraian yang lebih terperinci dan tegas lagi.”
Benarlah firman Allah s.w.t: Sesungguhnya
orang-orang yang kafir dan mati di dalam keadaan kafir, mereka ditimpa laknat
Allah dan laknat para malaikat dan manusia seluruhnya.
Mereka kekal di dalam laknat itu dan azab itu tidak
akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran. (Al-Baqarah:
161-162)
Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya orang-orang yang
kafir dan mati di dalam keadaan kafir. Sesungguhnya disyaratkan mati dalam
kufur kerana hukumnya mengikut bagaimana keadaan mati.
Abu al-`Aliyah berkata: “Ini pada hari kiamat di
mana orang kafir didirikan kemudian Allah melaknatnya seterusnya manusia dan
malaikat juga melaknatnya. Inilah yang dinukilkan oleh Imam al-Baghawi di dalam
tafsirnya.”
Sebenarnya terlalu banyak perkara yang boleh
membawa kepada keluarnya seseorang dari daerah keimanan kepada kufur. Disebut
secara umum di sini antara sebab-sebab tersebut:
Ulama berpendapat perkara yang membatalkan akidah
(aqidah) dan iman terbahagi kepada tiga:
1.
Iktikad.
2.
Perbuatan.
3.
Perkataan.
Ulama menyebut dalam kitab masing-masing secara
terperinci jenis-jenis perkara di atas yang boleh mengeluarkan daripada daerah
keimanan sehingga membawa kekufuran. Secara ringkasnya seperti berikut:
1.
Beriktikad adanya Tuhan yang lain selain Allah atau kuasa yang setara
dengannya.
2.
Beriktikad makhluk boleh memberi kuasa.
3.
Percaya kepada kuasa-kuasa yang lain daripada Allah, seperti jin dan lain-lain.
4.
Melakukan perbuatan ibadah seperti orang kafir, contohnya tunduk dan patuh
kepada berhala dan memakai salib dan sebagainya.
5.
Menghina al-Quran.
6.
Menghina Rasulullah s.a.w dan sunnahnya termasuk melukis karikatur yang
menjatuhkan
martabat Nabi Muhammad.
7.
Menganggap syariat tidak sesuai pada zaman sekarang.
8.
Menganggap undang-undang Islam sudah lapuk, kejam dan zalim.
9. Merasa
syak dan ragu atas kebenaran Islam.
10.
Menafikan perkara yang menjadi maklum dalam agama atau perkara yang diketahui
umum.
Seterusnya firman Allah s.w.t: Mereka ditimpa
laknat Allah dan laknat para malaikat dan manusia seluruhnya. Ayat ini yang
dimaksudkan dengan laknat tiga wajah. Pertama, mereka melaknatnya di hari
akhirat. Kedua, dikehendaki dengan manusia di sini ialah di kalangan orang yang
beriman seperti pendapat Ibn Mas’ud, Qatadah dan Muqatil. Ketiga, bahawa laknat
daripada orang yang ramai.
Firman Allah s.w.t: Mereka kekal di dalam laknat
itu dan azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran.
Maksud kekal di dalamnya atau padanya ada dua pendapat. Pertama, kembali kepada
laknat seperti pendapat Ibn Mas’ud dan Muqatil. Kedua, kembali kepada neraka.
Ayat ini tidak menyebut suatu azab yang lain dari
laknat yang menyerkup mereka, malah ia menyifatkan laknat ini sebagai suatu
azab yang tidak akan diringankan dari mereka dan tempoh azab itu tidak akan
ditangguhkan.
Itulah azab yang mengecilkan segala azab yang lain.
Itulah azab diusir, dibuang dan dilayan dengan kasar dan tiada hati yang
menaruh belas kasihan, tiada mata yang memandang dengan simpati dan tiada lidah
yang mengucap kata-kata hormat.
Mereka dikutuk, diusir dan dibuang oleh para hamba
Allah dan oleh Tuhan sekalian hamba-Nya sama ada di bumi dan di alam
al-Mala`ul-A’la. Inilah azab yang amat pedih dan amat menghinakan.
Firman Allah: Mereka kekal di dalam laknat itu dan
azab itu tidak akan diringankan dan tidak pula diberi tempoh kelonggaran.
Balasan itu disebabkan mereka telah menutup pintu yang terbuka itu kepada diri
mereka sendiri dan membiarkan peluang itu terlepas dari tangannya dan tempoh
(yang diberikan Allah) itu berakhir begitu sahaja, sedangkan mereka terus
berdegil dengan sikap menyembunyikan kebenaran, memilih kekufuran dan
kesesatan.
Iktibar dan pengajaran ayat:
1. Kebahagiaan
yang hakiki ialah mati dalam husnu al-Khatimah apatah lagi diakhiri dengan
kalimah
tauhid.
2. Laknat
yang datang daripada Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya menjadi dalil
ia
termasuk dalam dosa besar.
3.
Beriman dengan hari balasan seperti adanya azab neraka adalah benar.
0 komentar:
Posting Komentar